Jam 8.30 pagi Along telefon tanya.
'Didi ada balik tak?
'Tak'.
'Didi pakai kolar apa?'
'Warna biru. Tiada loceng '.
Along mula menangis.
'Ada kucing mati kena langgar dekat sini. Kau datang kejap.'
Hati saya sudah sebak. Sudah pasti itu Didi. Memang Didi tidak balik dalam sehari dua ini. Bagi saya itu perkara biasa sebab kadang-kadang di balik pukul 3-4 pagi. Masuk lalu tingkap bilik saya. Makan sekejap dan keluar semula ke tempat 'port' biasa dia. Dia bukan jenis yang duduk rumah. Tidak sesekali. Balik dalam 4-5 minit untuk makan dan minum sahaja. Lepas itu dia akan keluar.
Sebab itu saya pakaikan dia kolar. Kolar yang sudah lebih setahun di pasang di leher. Tidak pernah hilang dan tidak pernah bertukar melainkan loceng dan tag nama yang entah di mana cicirnya.
Saya sudah bersiap sedia. Kucing saya mati di langgar di jalan besar yang sibuk. Jaraknya kira-kira 200 meter dari rumah. Saya tidak mahu mebayangkan keadaannya tapi kepala saya ligat berfikir. Kucing saya mati di langgar, keadaannya pasti teruk. Pasti hancur?
Siap sedia dengan plastik hitam, surat khabar dan penyodok.
Menghidupkan enjin kereta dan airmata sudah mula gugur. Tabahkan hati saya Ya Allah.
Along sudah sedia menanti. Jauh saya meletakkan kereta. Sudah nampak kucing saya. Alhamdulliah. Tidak ada patah riuk. Tidak ada yang hancur atau berdarah. Tidak ada melainkan ianya sudah kembung. Sudah 2 hari rupanya Didi di langgar.
Ceritanya, Makcik pemilik gerai berhampiran yang tanya jika saya ada kehilangan kucing. Memang tiada. Tapi Along telefon juga bertanya saya. Hasilnya, itu memang Didi saya. Di langgar pada hari Khamis dan mati di tengah jalan. Anak lelaki kepada Makcik pemilik gerai yang juga rakan sebaya saya membantu mengalihkan Didi ke tepi jalan. Dan pada Sabtu pagi baru saya mengetahui tentang Didi.
Syukur Didi tidak lumat dan tidak di biarkan terus di atas jalan raya. Alhamdulillah. Tubuh Didi sempurna dan saya dapat semadikan dia dengan baik.
Along begitu cekal, tanpa penyodok hanya menggunakan surat khabar dia mengangkat tubuh kaku Didi. Sudah berat dan keras. Saya tidak boleh lakukan itu. Di bahagian bawah badan Didi sudah mula berulat halus. Terima kasih ratusan ulat-ulat kecil yang menemani Didi selama 2 hari ini. Terima kasih.
Kami membalut tubuh Didi dengan suratkhabar. Memasukkannya ke dalam kereta dan kami bawa pulang. Alhamdulillah.
Sebelum ini saya selalu berpesan kepada Along, jika jumpa kucing mati di tengah jalan. tolong alihkan. Jika kita tidak dapat untuk bawa balik untuk di tanam sempurna, alihkan ketepi supaya ianya tidak di langgar berulang kali hingga lumat. Itu juga yag saya lakukan. Alihkan kucing yang di langgar. Hatta anjing pun, jika ada yang mati di tengah jalan, cuba alihkan. Jika bukan untuk anjing itu pun, lakukan untuk keselamatan pengguna jalanraya yang lain. Biarlah apa orang nak kata.
Dalam esak tangis Along kata
'Kita selalu bantu kucing-kucing yang mati di langgar, tiba giliran kita, ada orang lain yang bantu ketepikan kucing kita bila di langgar.' Alhamdulillah. Walau apa yang kita lakukan, kita tidak perlu mengharapkan balasan, tapi Allah itu Maha Adil Dan Bijaksana. Syukur.
Didi di semadikan di tempat baru. Keseorangan. Tidak mengapa Didi. Akan ada seekor kucing ajaib yang akan datang menemani kamu. InsyaAllah.
Jika kamu pembaca blog saya dari awal, Didi adalah kucing yang saya sebut 'Geng Popia Versi Dua'. Ibunya yang saya namakan 'Noname' kucing jalanan yang datang kerumah dalam keadaan sarat dan memberanakkan mereka dalam almari baju Along sehari sebelum saya menunaikan umrah pada tahun 2011 atau lebih tepat lagi 13.04.2011.
Didi, Dodo dan Ompok.
Tiga beradik yang berlainan karektor.
Didi akan lepas bebas ke port biasanya di hadapan rumah.
Ompok pula akan menjadi penunggu pokok buluh jiran di belakang rumah manakala Dodo rutinnya di dalam Rumah Epal bersama rakan yang lain.
Rehat dengan tenang Didi.
Walaupun saya tidak pasti adakah kita akan berjumpa lagi, tapi saya harap kamu gembira walau di mana kamu berada.
Maafkan segala kesilapan saya selama menjaga kamu.
Selamat jalan......