Hari ini ada temujanji dengan Doktor Pakar Kulit di Klinik Kulit Hospital Melaka. Tarikh tertera 30 Ogos 2010 jam 2.30 petang. Ini temujanji yang ke 4 tetapi yang pertama sejak keluar dari wad.
Aku berfikiran positif jika pukul 2.30 petang pasti pukul 2.30 petang juga giliran aku jumpa doktor. Masa bergerak perlahan di rasakan. Punggung rasa kematu dan badan rasa macam lemah sahaja.
Aku daftar pada pukul 2.00 petang.
Kesabaran sedikit terhakis bila jam menunjukkan pukul 2.45 petang tetapi nombor giliran masih belum aku dapat. Aku bangun dan ke kaunter bertanya.
'Sudah 45 minit saya tunggu. Nombor pun saya belum dapat.'
'Oh! Z... ya. Maaf. Fail awak hilang. Tengah cari kat bawah.'
Aku menggeleng-geleng kepala dan duduk semula. Kali terakhir aku ke sini 26hb. Hairan fail sudah hilang.
Jam sudah pukul 3.00 petang. Kasihan pada Abah yang kena tunggu aku. Pukul 5.00 petang kena ambil pekerja pula. Terkejar-kejar dia. Jadi aku tidak bolehlah mahu duduk peluk tubuh sedangkan entah bila giliran aku sebab nombor pun aku belum dapat.
Aku ke kaunter sekali lagi.
'Sudah jumpa fail saya?'
'Belum'
'Lama lagi perlu saya tunggu sebelum dapat nombor? Dalam pukul 5.00 petang rasa-rasanya saya boleh dapat nombor tak?'
Jururawat di kaunter diam. Aku masih berdiri tegak tidak berganjak.
'Kami buka fail sementara dulu. Ini nombornya.'
Itu bukan masalah aku. Fail hilang salah kamu yang cuai. Bukankah senang kalau jalan penyelesaian di cari awal bukan selepas satu jam aku tunggu??
Duduk dan terus menunggu nombor giliran di panggil.
3.15 petang.
3.30 petang.
3.45 petang.
4.00 petang.
Nombor amat lambat bergerak.
Jam 4.00 petang. Sekali lagi aku bangun.
'Kak, masa di kad temujanji tak di guna di sini?' Tanya aku pada jururawat di kaunter. Jawabnya TIDAK!
'Kalau macam itu, cabut saja 'signboard' atas tu.' Kata aku sambil tangan menunjukkan papantanda yang di maksudkan. Jururawat terpinga-pinga dan aku terus duduk.
Gambar 'signboard' di kaunter Klinik ORL berhadapan dengan Klinik Kulit. Di kaunter Klinik Kulit pun ada satu. Papantanda itu tulisannya berbunyi begini.
'TUAN/PUAN AKAN DI LAYAN MENGIKUT TARIKH DAN MASA TEMUJANJI'
Apakejadahnya kau letak papatanda itu kalau masa temujanji aku pukul 2.30 petang tapi 4.30 petang baru nombor aku di panggil?
Aku belum jumpa tahap kesabaran aku yang sebenar-benar.
Nota kakitanganku : Mengapa? .....kerana aku insan tidak sempurna. Rasa mahu marah sahaja!