Hari terakhir. Perjalanan kita terhenti di sini. Esok tidak bertemu lagi. Aku pasti merindui kamu. Kamu yang beri seribu macam warna dalam kehidupan aku. Kita perlu ucap selamat tinggal. Harus berpisah tangan. Berpisah jari jemari. Tidak ketemu. Sampai bila-bila pun.
Alhamdulillah. Setahun lagi aku berjaya menyusuri hidup ini. Menghadapi putih hitam kehidupan. Ketawa dan airmata. Hanya dalam hati yang tahu. Biar senyum sentiasa. Usah berduka. Menunjuk lara.
Januari
Permulaan yang baik. Mula beralih arah dari yahoo 360 ke Blogger. Mendapat seorang lagi permata hati. Anak saudara perempuan yang kedua. Lahir pada 19 Januari 2009. Selamat datang sayang.
Februari
Berita gembira. Mendapat pertukaran tempat bertugas tanpa perlu berhempas pulas merayu dan meratap. Rezeki. Alhamdulillah.
Mac
Bila Allah beri kegembiraan, mendapat tempat bertugas yang hampir dengan rumah, Allah uji pula dengan cubaan. Emak sakit. Allah itu maha adil. Dia tempatkan aku di tempat yang paling dekat supaya mudah aku menjaga emak. Alhamdulillah. Aku terima walau terpaksa berulang alik, tidur di kerusi wad hospital. Aku tetap bersyukur.
April
Bulan kelahiran. 24 April. Alhamdulillah. Setahun lagi melewati usia. Walau hati sedikit terguri di hari kelahiran. Tidak mengapa. Sudah biasa.
Mei
Bulan lekahiran Abah. 13 Mei 1948
Jun
Menduduki BITK.
Julai
Waktu ini dunia blog masih sunyi dan sepi.
Ogos
Menduduki PTK buat kali ke dua. Ramadhan datang lagi.
September
Syawal kunjung tiba. Dunia blogger bertambah meriah dengan kawan-kawan yang hadir menyeri suasana. Terima kasih.
Oktober
Kandas BITK. Allah beri ujian Allah hadiahkan kejayaan. Lulus cemerlang PTK. Alhamdulillah.
November
Bertungkus lumus menyiapkan dokumen untuk Audit. Menghadiri pelbagai taklimat dan bengkel. Alhamdulillah. Tiada teguran audit yang serius.
Disember
Penghujung waktu. Terima kasih buat kamu semua yang sering berkampung di sini. Berkongsi cerita suka dan duka aku. Memberi kata azimat. Mahupun sesekali menerima sentapan kata-kata. Terima kasih. Kamu bagai kuntuman-kuntuman bunga wangi dalam taman persahabatan aku. Dalam wangian walau terselit bunga tahi ayam, itu lumrah. Tidak semua yang ada suka pada kita. Cara kita.Kelakuan kita. Tutur kata kita.
Selamat Tahun baru 2010
Nota kakitangan : Yang lama tidak di lupa.